Pengusaha kantin akan diheret ke mahkamah

Oleh – Syeikh Baran


Pengusaha kantin akan diheret ke mahkamah

Pengusaha kantin Sekolah Kebangaaan (SK) Chepor di sini akan berdepan tindakan undang-undang ekoran kes keracunan makanan melibatkan lebih 100 orang murid sekolah tersebut pada 25 September lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata, pendakwaan di mahkamah jarang dilakukan, namun kali ini tindakan tersebut harus dibuat kerana kes yang berlaku sangat serius.

Jelasnya, pendakwaan itu akan dibuat di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

Katanya, pengusaha kantin sekolah itu sebelum ini pernah diberikan dua teguran secara bertulis daripada pentadbiran sekolah berkaitan kebersihan.

“Kes ini sangat serius, jadi saya juga telah memutuskan bahawa kita harus mendakwa dia sebab kita ada cukup kes untuk buktikan di mahkamah. Kes ini harus dibawa ke mahkamah, biar mereka buktikan di sana (mahkamah),” katanya semasa melawat sekolah itu hari ini.



Jabatan Kesihatan Negeri pada 28 September lalu menyatakan, berdasarkan hasil siasatan awal, makanan yang disyaki menjadi punca kejadian wabak keracunan makanan adalah minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.

Pihak pejabat kesihatan daerah telah membuat pemeriksaan premis kantin sekolah tersebut pada 25 September dan mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko adalah tidak memuaskan dengan tahap penilain 67.9 peratus.

Kes tersebut juga menyebabkan seorang murid terpaksa ditahan di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Setakat ini, hampir semua murid yang terkesan sudah pulih dan kembali bersekolah.

Sivanesan berkata, beliau melihat tindakan undang-undang itu penting untuk memberikan mesej kepada pengendali makanan yang lain termasuk kantin dan restoran.



“Saya juga meminta maaf secara terbuka kepada ibu bapa atas kejadian yang berlaku,” katanya selain menyatakan hasil mesyuarat antara pihak berkepentingan menunjukkan sudah ada bukti untuk menamatkan tender pengusaha kantin.

Sejak kes berlaku, operasi kantin sekolah tersebut telah ditutup selama 14 hari dan urusan pembekalan makanan diuruskan oleh pihak pentadbiran sekolah dan pendidikan daerah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button