Jordan, Iraq, Lebanon tutup ruang udara

Oleh – Syeikh Baran


Jordan, Iraq, Lebanon tutup ruang udara

Jordan, Iraq dan Lebanon mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing semalam selepas serangan peluru berpandu Iran dilancarkan ke atas Israel, lapor agensi berita Anadolu.



Maklumat itu dikeluarkan dalam kenyataan daripada Suruhanjaya Pengawalseliaan Penerbangan Awam Jordan, Kementerian Pengangkutan Iraq serta Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Lebanon.

Suruhanjaya Pengawalseliaan Penerbangan Awam Jordan berkata, ia telah menutup sementara ruang udaranya untuk semua penerbangan (masuk, keluar dan transit), lapor agensi berita rasmi negara itu.

Ketuanya, Hytham Mesto menekankan bahawa keputusan itu dibuat susulan ketegangan yang semakin meningkat di rantau tersebut.

“Ia menimbulkan risiko kepada operasi penerbangan dan keselamatan penumpang.



“Langkah berjaga-jaga ini akan dinilai semula berdasarkan perkembangan berterusan dan penilaian risiko,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Iraq, Razzaq Muhaybis Al-Saadawi berkata: “Bagi memastikan keselamatan navigasi udara dan pesawat transit, kami telah mengarahkan penutupan ruang udara Iraq kepada operasi penerbangan.”

Agensi berita rasmi Lebanon pula melaporkan, pejabat media Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Ali Hamieh berkata dalam satu kenyataan yang berbunyi: “Disebabkan perkembangan serantau, ruang udara akan ditutup selama dua jam. Selepas itu, penilaian semula akan dibuat untuk menyambung semula penerbangan.”

Dalam pada itu, agensi berita Reuters ketika memetik jurucakap perkhidmatan pengesanan penerbangan, FlightRadar24 sebagai berkata, penerbangan dilencongkan ke mana-mana sahaja yang boleh.



Gambaran trafik udara di rantau itu menunjukkan penerbangan-penerbangan dilencongkan ke utara dan selatan, dengan kebanyakannya bertumpu di Kaherah dan Istanbul. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button