Pemandu lori didakwa noda anak tiri 12 tahun
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 12 tahun, bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 12 tahun di sebuah rumah dalam daerah Jasin antara pukul 10.30 malam dan 11 malam pada 26 September 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan perubatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan menanggung isteri dan tiga anak yang masih kecil termasuk bayi berusia tujuh bulan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 14 November depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam.
Sumber – KOSMO! ONLINE