Tetap kasih, rindu emak meskipun dihalau, diharamkan susu badan
TAIPING: Meskipun dihalau dan diharamkan susu diberi, jauh di sudut hati perasaan kasih dan sayang terhadap ibu kandung tetap ada.
Demikian kata penghuni paling lama di rumah gelandangan milik Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) di sini yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 20, yang turut mengakui dirinya tidak pernah membenci wanita yang melahirkannya itu.
“Biarpun lebih setahun berlindung di rumah kebajikan dan diberi layanan jauh lebih sempurna berbanding oleh keluarga sendiri, perasaan rindu, sayang dan ingin kembali kepada keluarga tetap menebal.
“Anak mana tak sayangkan emaknya….setiap kali puasa atau raya, mesti teringatkan emak dan teringin nak bersama mereka, namun emak dan ayah tiri bersikap seperti orang asing pada saya.
“Tak tahu di mana salah saya kerana dari kecil lagi dihantar ke sekolah tahfiz sehinggalah umur 12 tahun.
“Selepas itu ayah meninggal dunia dan apabila mak berkahwin pula dengan bapa tiri beberapa tahun lalu, saya sentiasa menerima layanan buruk sehinggalah dihalau keluar dari rumah pada awal Januari tahun lalu,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Taiping Medical Centre (TMC) sempena program jelajah sahur bersama Agensi Kerajaan dan Rakan Media.
Mohamad berkata, selepas dihalau dia dibawa seorang penduduk sebelum dihantar ke rumah gelandangan itu pada 14 Januari tahun lalu.
“Benar hidup di sini serba serbi lengkap dan ibarat syurga bagi saya. Namun saya masih terasa kekurangan iaitu kasih sayang daripada ibu sendiri.
“Namun apakan daya mereka dah ‘buang’ saya dan walau apa pun kesalahan mereka, saya tetap maafkan dengan seikhlasnya,” katanya yang kini baru berkerja di sebuah hotel di bandar ini.
Mohamad berkata, bapa tirinya yang berusia lingkungan 50-an seorang penagih dengan kerja tidak menentu, manakala ibunya berusia lewat 30-an hanya mengambil upah mencuci rumah penduduk.
Selain dirinya, dua adik perempuan berusia 13 hingga 17 tahun kini tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di bandar ini.
Setakat ini, katanya, sudah dua kali dia menyambut hari raya di rumah perlindungan itu dan reda dengan kehidupannya serta menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah.
Sementara itu Presiden KMM Taiping, Faizzul Amri Shahabuddin, berkata rumah transit rakan jalanan itu dibuka pada 2020 dan menempatkan lebih 70 penghuni mempunyai enam penjaga, manakala penghuninya sentiasa bertukar ganti dengan maksikum boleh menempatkan 10 orang pada satu masa.
“Selain tempat perlindungan sementara untuk mereka yang mempunyai masalah, rumah ini turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan kesedaran mental.
“Syarat pemilihan untuk penghuni mendiami rumah ini adalah mereka boleh mengurus diri, tidak terbabit dengan dadah, bersikap mahu berkerja dan boleh menetap selama dua bulan kecuali kes tertentu (seperti Mohamad),” katanya.
BHOnline