Anggota tentera hilang ketika operasi di Hutan Simpan Belum
IPOH: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata anggota berusia 33 tahun itu dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.
Katanya, pihaknya menerima laporan kehilangan anggota berpangkat Koperal itu jam 12.50 tengah malam kelmarin.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak hari pertama kehilangan dan sehingga kini anggota itu belum ditemui.
“Hasil siasatan awal polis mendapati kehilangan berlaku Jumaat lalu pada jam 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan,” katanya.
BERNAMA