Immobile, 2 anak nyaris maut dilanggar trem
Rom: Penyerang Lazio dan Itali, Ciro Immobile dilaporkan terbabit dalam kemalangan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya bertembung dengan trem, hari ini.
SUV dipandu pemain berusia 33 tahun itu yang meledak 194 gol dalam 289 penampilan bersama Lazio, turut remuk susulan kemalangan terbabit.
Laporan di Itali menyatakan dia dalam keadaan baik, namun mengalami luka di tangan dan mungkin patah bahu.
Media Itali, Corriere dello Sport melaporkan ketika Immobile memandu berhampiran Ponte Matteotti – kira-kira lima minit dari Stadium Olympico – trem terbabit melanggar lampu merah dan menghentam SUV dipandunya.
Immobile dan dua anak perempuannya berada dalam kenderaan ketika insiden itu selain penumpang yang berada dalam trem.
Kedua-duanya anaknya hanya cedera ringan.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, Immobile berkata: “Saya cuba mengelak ke sebelah kiri, sebab itulah kereta dilanggar hanya pada satu sudut.”
“Trem terbabit melanggar lampu merah, tetapi buat masa ini, saya tidak mahu bercakap apa-apa. Lengan saya sakit sedikit.”
Saksi kemalangan itu mengesahkan dakwaan Immobile apabila trem itu tidak mematuhi lampu isyarat merah yang menyebabkan SUV penyerang itu rosak teruk.
Agensi