Lebih 50 pegawai, anggota bomba berkampung di lokasi kebakaran

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menempatkan lebih 50 pegawai dan anggota di lokasi kebakaran tanah gambut di Beris Lalang, Bachok, mulai hari ini.

Pengarahnya, Jainal @ Zainal Madasain, berkata semua mereka berkampung di lokasi itu bagi melakukan pemantauan kerana dibimbangi kebakaran terus merebak.

“Mereka adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pasir Puteh dan beberapa balai dari daerah lain yang tidak terbabit dengan kes kebakaran.



“Mulai hari ini, lebih 50 anggota ini akan berkampung di lokasi sepanjang masa dan kita sedang berusaha memadam kebakaran supaya tidak terus merebak.

“Proses memadam kebakaran membabitkan lokasi tanah gambut perlu mengambil masa memandangkan api dalam tanah dan ianya lebih mudah merebak.

“Justeru, proses memadam kebakaran ini mengambil masa dijangka lebih sebulan, namun setakat ini keadaan di lokasi terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi meredakan kebakaran itu, beliau berkata, pihaknya kini melakukan proses melakukan lembapan tanah supaya api di dalam tanah padam sepenuhnya.



“Untuk proses berkenaan, kita menggunakan air dari parit, sungai serta pili bomba yang berdekatan.

“Justeru, kita berharap orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok yang tidak dipadam merata-rata bagi mengelak keadaan menjadi buruk,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kebakaran kawasan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu kini semakin merebak sehingga 50 hektar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kejadian itu dikesan pada 27 Mac lalu yang ketika itu hanya membabitkan tanah gambut seluas lima hektar sahaja.



Katanya, keadaan di lokasi kini masih berasap dan belum padam sepenuhnya selain dijangka mengambil masa untuk kembali pulih.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button