Peluang Martial jadi wira United

Manchester, United Kingdom: Anthony Martial dipinjamkan ke Sevilla musim lalu selepas berdepan prestasi tidak menentu di Manchester United tetapi pemain Perancis itu kembali semula tepat pada masanya untuk saingan Liga Europa menentang bekas kelabnya awal pagi Jumaat ini.

Kecederaan Marcus Rashford bermakna Martial bakal mengetuai serangan United di Ramon Sanchez Pizjuan dalam misi memburu tiket separuh Liga Europa.

Dua gol sendiri United pada lewat permainan membolehkan pakar Liga Europa itu mengikat keputusan seri 2-2.



Martial memainkan peranan penting ketika United mendahului 2-0 hasil dua jaringan Marcel Sabitzer dalam tempoh 21 minit pertama.

Tetapi pemain tengah Austria itu mungkin tidak dapat bermain pada aksi peringkat kedua akibat kecederaan ketika sesi latihan sebelum kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest, Ahad lalu.

Tonggak pertahanan tengah Raphael Varane dan Lisandro Martinez turut tidak dapat berkunjung ke Sepanyol selepas tercedera ketika aksi pertama dan menambah rumit lagi ialah ketiadaan Bruno Fernandes akibat penggantungan.

Fernandes menyinar selepa digandingkan dengan Christan Eriksen dan Casemiro di bahagian tengah dan dalam 17 perlawanan yang menyaksikan trio terbabit diturunkan, United menang 15 dan seri dua kali.



Masalah kecederaan turut menjejaskan impak Martial bersama United sebelum ini namun pengurus Erik ten Hag tetap menaruh keyakinan dan memberinya peluang mempamerkan kemampuan sebenar.

“Ketika dia cergas, pasukan kami beraksi dengan baik,” kata Ten Hag mengenai impak Martial. “Dia pemain berwibawa. Dia boleh menjadi penghubung, memegang bola dan juga menekan lawan. Dia akan menjaringkan gol dan mampu mendapatkan gol. Saya tak ragui kemampuan dia.”

Martial meledak tujuh jaringan dengan purata satu gol setiap 133 minit di bawah kendalian Ten Hag.

Namun dia masih perlu membuktikan kemampuannya jika mahu meyakinkan United melanjutkan kontraknya yang tamat hujung musim depan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button