Si pencuri yang malang

Sungai Besar: Berpura-pura sebagai pelanggan yang mahu membeli iPhone 14 Pro Max sebelum cuba melarikan telefon pintar itu.

Itu tindakan dua lelaki lingkungan 20-an yang menyamun sebuah kedai telefon bimbit di Sungai Besar Business Centre (SBBC), di sini, dan mencederakan pekerja premis itu kelmarin.

Mereka bagaimanapun gagal memperoleh apa-apa selepas iPhone yang dirampas tercicir di lokasi kejadian dan kedua-duanya penjenayah melarikan diri dengan dua motosikal.



Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku jam 7.30 malam.

Beliau berkata, perkara itu dikesan menerusi satu video memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan premis itu semalam.

“Semakan lanjut mengesahkan satu laporan berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis.

“Siasatan mendapati pekerja wanita dan lelaki yang berada di kedai itu didatangi seorang suspek yang kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14.



“Namun, suspek itu menyerang salah pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Agus Salim berkata, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

“Pada masa sama, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja itu.

“Ekoran pergelutan itu, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja berkenaan mengalami kecederaan di bahu kanan,” katanya.



Beliau berkata, mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Menurutnya, polis kini giat memburu dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintendan Khairul Azman Mohd Zain di talian 03-32242222,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button