Penunggang motosikal langgar lari anggota polis diburu
Butterworth: Seorang anggota polis dari Balai Polis Butterworth mengalami kecederaan pada rahang sebelah kiri dan luka di beberapa bahagian badan lain selepas dilanggar lari oleh sebuah motosikal di Jalan Bagan Dalam, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian 7.55 pagi itu, anggota berkenaan sedang membuat pemantauan di kawasan terbabit.
“Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis dari arah Bagan Luar menghala ke arah Bagan Dalam telah bergesel dengan motosikal yang ditunggangi oleh individu terbabit.
“Selepas kemalangan, penunggang motosikal tersebut disyaki telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, polis sedang giat mengesan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, anggota polis itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi segera Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122 atau boleh datang ke balai polis berhampiran,” katanya.
METRO