Enot buntu cari dana untuk bedah lutut
KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak, Enot buntu mencari dana RM18,000 bagi menampung p
embedahan lutut selepas terjatuh di bilik air di kediamannya, Disember lalu.
Tambah merisaukan Enot atau nama sebenar, Aliza Abdullah, 45, selain kos pembedahan, dia perlu mempunyai tabungan bagi menampung kos hidup selepas prosiding itu berikutan perlu berehat lama.
Bagaimanapun, ketika ini, Enot terpaksa menangguhkan pembedahan lutut berikutan bacaan gula dalam air kencing dan darah tinggi, tidak stabil.
Enot mendakwa pelbagai usaha dilakukan seperti berniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri, namun, masih gagal mengumpul kos pembedahan.
“Kalau boleh, saya tidak mahu meminta bantuan sesiapa. Jadi, saya usahakan berniaga sepanjang bulan puasa demi mengumpul dana.
“Bagaimanapun, ekonomi kita sekarang kurang baik, ramai orang berkunjung ke bazar tetapi kuasa membeli kurang.
“Saya sudah lama tidak mendapat tawaran berlakon. Kali terakhir, awal tahun ini. Jadi, untuk mengumpul RM18,000 adalah sesuatu yang berat buat saya,” katanya yang bakal menjalani pembedahan di Hospital Melaka.
Enot berkata, dia sebolehnya cuba mengelak daripada melakukan pembedahan. Namun, kesakitan yang ditanggung tidak mampu dikawal lagi.
“Ketika berniaga, lutut saya ‘meletup’ dan saya kesakitan. Lagipun, saya banyak berdiri.
“Saraf pada lutut ‘melanggar’ besi pada bahagian kaki. Jadi, doktor perlu buka sedikit bahagian tempurung untuk rawat kecederaan itu.
“Memang tidak boleh buat apa lagi, melainkan dibedah. Takkan sampai bila-bila saya perlu bergantung kepada ubat tahan sakit.
“Cuma sekarang saya perlu mengawal pemakanan supaya tahap gula dan darah tidak naik, barulah pembedahan dapat dibuat,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Enot buntu memikirkan kos sara hidup selepas pembedahan. Ini kerana katanya, dia perlu berehat untuk tempoh yang lama selepas prosedur itu.
“Itu pun suatu perkara yang membimbangkan saya. Ada yang mempersoal ke mana perginya duit saya?
“Saya bergantung hidup dengan berniaga. Jadi, pendapatan tidak menentu. Tawaran berlakon juga makin berkurangan.
‘Simpanan yang ada saya gunakan untuk kelangsungan hidup hari-hari termasuk kos berulang alik ke hospital.
“Tapi biarlah, saya fikir, tidak perlu saya jelaskan… Orang tetap mengata.
“Namun, saya bersyukur kerana masih ada teman prihatin seperti Ziana Zain, Anuar Zain dan Ning Baizura yang menghulurkan bantuan buat saya,” katanya.
BHOnline