Liga M bakal diserang demam K-Pop

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal ‘diserang demam K-Pop’ apabila hampir 20 hingga 30 pemain dari Korea Selatan dijangka menyertai beberapa pasukan tempatan pada jendela perpindahan kedua pemain Julai ini.

Perkara itu diakui ejen bola sepak terkemuka Korea Selatan, Myeongho Jeong yang bakal menerbangkan kelompok pemain terbaik untuk diuji terlebih dahulu, sebelum beraksi dengan pasukan tempatan.

Malah menurut CEO JMH Sports Agency itu lagi, terdapat juga pemain berprofil tinggi termasuk yang pernah beraksi di Piala Dunia bersama skuad Taegeuk Warriors akan ke Liga M.



“Saya mendapat permintaan agak tinggi daripada pasukan Liga M yang mahu menguji pemain dari Korea Selatan untuk memenuhi kuota Asia.

“Sekurang-kurangnya 20 pemain hingga 30 pemain akan saya bawa nanti, dan mereka akan diuji terlebih dulu oleh pasukan. Jika memenuhi piawaian pasukan itu, mungkin akan ada yang tersangkut.

“Ada juga pemain yang pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Korea Selatan di Piala Dunia akan dibawa. Ini perkembangan yang baik untuk liga bola sepak Malaysia dan juga Korea,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, Jeong dianggap antara ejen terbaik di rantau ini apabila hampir 200 pemain dari Korea Selatan sudah berjaya ‘dipasarkannya’ di Liga Thailand ketika ini.



Bagi saingan Liga M, dia yang pertama kali menembusi saingan tempatan musim ini sudah mengeksport hampir 10 pemain dan jurulatih ke Liga M seperti Perak FC, Sri Pahang, Kelantan United dan Kelantan FC.

Jeong juga bercadang membawa pemain Malaysia beraksi di Korea Selatan selepas ini dan mengakui tertarik dengan gaya permainan beberapa tonggak Harimau Malaya yang berpotensi bermain di negaranya.

Ketika ini, pemain tengah negara R Kogileswaran muncul satu-satunya anak Malaysia yang beraksi di Liga Korea Selatan bersama kelab Chungbuk Cheongju di saingan divisyen dua menerusi ikatan kontrak semusim bermula Januari lalu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button