Runtuhan cerun akibat paip pecah – Alexander

KUALA LUMPUR: Runtuhan cerun di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini berpunca paip pecah.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata punca kejadian itu diketahui hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kebocoran paip mengakibatkan tanah mengalami ketepuan tinggi, seterusnya meningkatkan tolakan mendatar (lateral force) kepada tembok penahan.



“Sebahagian tembok penahan itu runtuh bersama-sama dengan tanah cerun,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, dalam siasatan itu, pihaknya mendapati ketika kejadian cuaca baik dan tiada hujan.

“Taburan hujan di Stesen Sentul untuk 4 hari dari 21 April 2023 hingga 24 April 2023 juga mencatatkan bacaan yang tinggi antara 16.0 milimeter (mm) hingga 47.5 mm,” katanya.

Alexander berkata, setakat ini JKR memerlukan lukisan terbina (As-built Drawing) struktur tembok penahan sedia ada dari pihak pemilik bangunan, untuk tujuan membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan.



Katanya, kerja pembersihan tapak juga akan bermula petang ini, melalui kontraktor yang dilantik serta kerja pemasangan kanvas di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah.

“Kerja pemasangan ’tilt sensor’ (inclinometers) bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dijangka akan dipasang bermula esok,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya berada di tapak runtuhan di MACA untuk melaksanakan tinjauan dan pemeriksaan sejurus menerima pemakluman berkenaan kejadian.

“Hari ini, Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun, Cawangan Kejuruteraan Geoteknik dan Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, JKR yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Ir Badioezaman Ab. Khalik berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut sejak jam 9.15 pagi.



“JKR dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan -kerja pemeriksaan di kawasan kejadian. Laporan terperinci hasil daripada pemeriksaan akan diserahkan kepada pihak berkepentingan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button