Pan Gon ‘menuntut ilmu’ tiga kelab Sepanyol
Kuala Lumpur: Corak permainan skuad Harimau Malaya pastinya bakal berubah lebih padu menjelang saingan Piala Asia di Qatar Januari depan selepas barisan kejurulatihan negara yang diketuai Kim Pan-gon selesai ‘menuntut ilmu’ dengan tiga kelab terbesar Sepanyol iaitu Barcelona, Mallorca dan Espanyol.
Lawatan teknikal yang berlangsung selama seminggu bermula 17 April lalu itu turut menyaksikan Pan-gon dapat bersemuka dan mempelajari sendiri corak permainan ‘ala tiki-taka’ yang selama ini menjadi identiti bola sepak Sepanyol hingga berjaya menjulang Piala Dunia pada 2010 lalu.
Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pan-gon dan barisan kejurulatihan negara berpeluang menyaksikan sesi latihan pemain Barcelona, melawat fasiliti dan menonton perlawanan babitkan kelab itu.
Selain lawatan ke Barcelona, barisan kejurulatihan negara itu juga di bawa ‘menuntut ilmu’ di kelab Espanyol dan Mallorca.
“Pada 20 April 2023, Pan-gon dan staf kejurulatihannya turut mengunjungi sebuah lagi kelab Sepanyol yang bertempat di Barcelona iaitu Espanyol di sepanjang hari itu untuk melawat pusat latihan pasukan utama dan menghadiri seminar oleh jabatan metodologi.
“Sepanjang berada di Barcelona itu, mereka juga berkesempatan menyaksikan dua perlawanan La Liga 2022/23, Espanyol bertemu Cadiz pada Jumaat lalu serta FC Barcelona menentang Atletico Madrid pada Ahad, 23 April lalu.
“Selain itu, Park Jihyeon dan Lim Jaehun juga ke Mallorca untuk menyaksikan satu lagi perlawanan La Liga, Mallorca bertemu Getafe pada Ahad dan seterusnya menyaksikan sesi latihan dan bertemu pegawai pasukan berkenaan pada Isnin,” kata kenyataan badan induk itu.
Dengan perkembangan itu, sudah tentunya ia akan menyuntik elemen baharu dalam corak permainan skuad negara yang akan kembali di kumpulan pada Jun ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Yaman dan Kepulauan Soloman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu nanti.
Dua aksi persahabatan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia selepas layak secara merit pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jun tahun lalu.
Kejayaan itu menyaksikan skuad negara menamatkan badi 43 tahun selepas kali terakhir beraksi pada saingan di Kuwait pada 1980 lalu, di mana pasukan kebangsaan menamatkan kedudukan di tangga keenam daripada 10 pasukan bertanding.
METRO