Skuad hoki dalam dewan belasah Singapura

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan wanita negara membuka langkah kanan dalam misi mempertahankan kilauan pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 selepas ‘meratah’ Singapura 8-0 pada aksi pertama kumpulan di Phnom Penh, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar itu, Nuraslinda Said meledak empat gol pada minit kelapan, 11, 18 dan 19 manakala Fazilla Sylvester Silin meledak dua gol (m13 dan m34) dan Raja Norsharina Raja Shahbuddin (m3) serta Iren Hussin (m26).

“Syukur Alhamdulillah,” kata ketua jurulatih, Mohd Badrul Hisham Osman. “Pembukaan yang baik untuk pasukan. Kita bermula dengan langkah kanan. Tiga mata amat penting untuk kita, bagi setiap perlawanan.



“Pemain bermain dengan baik dan mengikut perancangan yang dirancang sebelum perlawanan bermula. Saya tetap berpuas hati dengan keputusan. Bagaimanapun kita akan perbaiki beberapa kesilapan yang dikenal pasti pada perlawanan tadi.

“Kami kurang menjaringkan gol pada separuh masa kedua jika dibandingkan dengan separuh masa pertama. Ini kerana lawan, Singapura lebih menerapkan corak permainan secara bertahan kerana mahu mengurangkan jumlah bolos. Bagaimanapun pemain tetap meneruskan permainan yang terbaik,” tambahnya.

Skuad negara dijadual bertemu Filipina esok dan bagi Badrul, dia mengharapkan pemain untuk tidak melepaskan peluang menjaringkan gol

“Bagi aksi kedua bertemu Filipina, kami akan mengekalkan corak permainan diterapkan hari ini selain memperkemaskan lagi beberapa kesilapan kecil. Saya amat berharap pemain tidak akan melepaskan setiap peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol kerana jumlah jaringan gol dalam setiap perlawanan amat penting,” katanya.



Pada edisi terakhir di Filipina 2019, Malaysia muncul juara buat kali pertama apabila menewaskan Thailand menerusi penentuan pukulan penalti 2-0 selepas masing-masing terikat 1-1.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button