Linda Hashim buang ego untuk selamatkan rumah tangga

Kuala Lumpur: “Berkat bulan Ramadan dan jodoh kami masih panjang. Alhamdulillah, kami dapat menyelamatkan rumah tangga ini kerana berjaya buang ego masing-masing,” kata pelakon Linda Hashim, 39.

Terdahulu, Linda dan suaminya juga pelakon Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 43, hadir bersama di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi ini bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka selepas rujuk semula.

Pasangan ini mengesahkan mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu, namun rujuk semula ketika masih dalam edah pada 9 April lalu.



Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim ditemui berkata, perceraian bukan perkara yang main-main. Katanya, tiada siapa pun pasangan berkahwin yang inginkan perceraian.

“Saya pun tak nak main-main benda ini (cerai). Tak ada siapa pun nak inginkan perceraian. Saya pun tak tahu hati berbolak-balik. Sebelum bercerai, kita pun dah ada kata putus sendiri sebenarnya. Tapi, saya terus berdoa, solat hajat sebab nak terbaik untuk kita dan diri masing-masing.

Alhamdulillah, kuasa Allah pada bulan puasa pula dan doa memang mudah dimakbulkan. Lagi pula, setiap malam kita berdoa. Jadi, memang nampaklah ini semua jalan Allah, takdir Allah itu memang cantik.

“Dia bolak-balikkan hati kami dan dapat berbaik semula pada bulan yang baik (Ramadan). Jadi, benda ini memang keajaibanlah. Benda ini (jodoh) memang kerja Allah,” katanya kepada Harian Metro.



Linda berkata, dia dan Beego juga mengambil pendekatan duduk berbincang berdua untuk memahami hati masing-masing dan diikuti anak-anak juga.

Katanya, dalam perbincangan dibuat itu hanya sesama mereka dan tidak membabitkan orang lain langsung termasuk keluarga.

“Saya mengetepikan semua orang di sekeliling dan menyelesaikan masalah secara kami berdua saja. Ia penting kerana, dalam hal membabitkan rumah tangga ini sebenarnya hanya kita suami dan isteri saja yang tahu.

“Jadi, kalau nak buat keputusan itu biar antara kita berdua saja demi diri masing-masing, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak memang menjadi kekuatan kami. Insya-Allah, kami harap ikatan yang disambung ini berkekalan hingga ke akhir hayat.



“Saya buang ego diri dan betul-betul bersihkan hati dengan bermuhasabah diri untuk perkahwinan ini. Saya dan Beego, berjanji akan memperbaiki kelemahan diri kami demi ikatan perhubungan ini dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Terdahulu, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang pelakon wanita turut berdepan masalah rumah tangga dan secara diam-diam hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, pada 18 April lalu bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dengan suaminya.

Teka-teki terjawab apabila pelakon wanita dimaksudkan itu adalah Linda dan suaminya, Beego.



Pasangan ini bertindak bijak dan matang apabila tidak membuat sebarang perkongsian berhubung masalah mereka di media sosial masing-masing.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button