Grace lebur rekod lama, pertahan emas
PHNOM PENH: Atlet wanita negara, Grace Wong Xiu Mei membuktikan dia sukar digugat di pentas Sukan SEA apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara lontar tukul besi yang berlangsung di Stadium Morodok Techno, sebentar tadi.
Lebih manis lagi Grace yang meraih emas ketiga di temasya dwitahunan itu turut cemerlang memecahkan rekod kejohanan menerusi balingan sejauh 61.88 meter (m).
Catatan itu memecahkan rekod lama miliknya, 59.64m yang dilakukannya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kejayaan Grace turut diiringi seorang lagi atlet muda negara Nurul Hidayah Lukman apabila memenangi gangsa menerusi jarak balingan sejauh 49.61m manakala pingat perak milik wakil dari Thailand Mingkamon Koomphon (57.62m).
Grace berkata, cuaca panas di stadium terbabit sebenarnya memberi kelebihan kepadanya untuk mencipta kejayaan di temasya dwitahunan itu.
“Saya boleh katakan cuaca panas memberi kelebihan untuk mencipta kejayaan. Boleh dikatakan kejayaan ini cukup bermakna selepas menjalani latihan intensif di China selama sebulan dalam usaha mengekalkan prestasi.
“Pada masa sama, saya turut berpuas hati dengan prestasi semasa dan hari ini mampu menghadiahkan emas pertama untuk kem olahraga negara,” katanya.
Mengikut rekod, Grace sebelum ini memenangi pingat emas pada penampilannya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum mengulangi pencapaian cemerlang itu di Hanoi tahun lalu.
Grace juga adalah pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 62.48 m yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua tahun lalu.
Sementara itu, Nurul Hidayah yang dianggap sebagai permata baru dalam acara lontar tukul besi turut berpuas hati dapat membawa pulang pingat pada penampilan pertama di Sukan SEA.
“Walaupun terdapat insiden membabitkan masalah teknikal, akhirnya saya disahkan sebagai pemenang gangsa acara berkenaan sekali gus berpuas hati dapat menyumbang pingat untuk negara,” katanya.
BHOnline