Hubungan China-AS kini berdepan cabaran besar – Menteri Luar
BEIJING, 9 Julai — Hubungan Beijing-Washington kebelakangan ini kelihatan goyah, sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik, kata memetik Menteri Luar China Wang Yi, lapor agensi berita Sputnik.
Beliau berkata demikian semasa forum media kumpulan pemikir China-Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
“Lebih membimbangkan, hubungan China-AS, satu hubungan dua hala paling penting di dunia, kini berdepan cabaran paling getir sejak terjalinnya hubungan diplomatik,” kata Wang, seperti yang dipetik Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan akhbar.
Menteri itu menambah beberapa ahli politik dari AS berusaha untuk “menggambarkan China sebagai pesaing, dan bahkan musuh,” ketika mereka berusaha untuk mengehadkan pembangunan China dan kerjasama Beijing-Washington.
“Pertama, China dan AS sepatutnya tidak cuba untuk mengubah satu sama lain. Sebaliknya, mereka perlu bekerjasama mencari jalan damai dengan menerima sistem dan peradaban yang berbeza,” kata Wang.
Menteri itu juga berkata dasar Beijing terhadap Washington tetap sama, kerana negara itu menyasarkan untuk memperbaiki hubungan dengan lebih “mesra dan tulus.”
Hubungan AS-China merosot baru-baru ini antara lain disebabkan perbezaan perdagangan, status Hong Kong dan tindak balas COVID-19.
Beberapa ahli politik AS, termasuk Presiden Donald Trump, berulang kali menuduh China melakukan amalan perdagangan yang tidak adil, pelanggaran hak asasi manusia dan menceroboh status khas Hong Kong.
China menolak tuduhan itu dan telah mengemukakan pelbagai pelanggaran undang-undang antarabangsa di pihak AS.
Washington turut menuduh Beijing menyembunyikan maklumat ketika peringkat awal pandemik COVID-19 dan mendakwa ia mempunyai bukti bahawa virus itu berasal dari makmal China.
Beijing menyangkal semua tuduhan itu.
— BERNAMA