COVID-19: Korea Selatan sedia peruntukan besar untuk pembangunan vaksin, ubat-ubatan
SEOUL, 9 Julai — Korea Selatan akan membelanjakan 197 bilion won (US$162 juta) untuk menyokong pembangunan vaksin dan ubat-ubatan bagi tujuan rawatan COVID-19, lapor agensi berita Yonhap memetik Kementerian Kesihatan pada Khamis.
Daripada jumlah itu, 57.6 peratus, atau 111.5 bilion won, akan digunakan untuk mencari ubat-ubatan dan vaksin.
Firma biofarmaseutikal tempatan, seperti Celltrion Inc dan Korea Green Cross Corp, masing-masing sedang mengembangkan ubat antibodi dan plasma darah, dengan ujian klinikal sebenar ke atas manusia yang bermula sebelum akhir Ogos.
Celltion, khususnya, bekerjasama dengan rakan Britain untuk menjalankan ujian global.
Kementerian itu berkata 39.1 bilion won akan digunakan untuk mengembangkan kajian dan infrastruktur pengeluaran dalam negara yang sangat penting bagi menangani wabak semasa dan akan datang.
Sehingga Khamis, Korea Selatan mengesahkan 13,293 kes COVID-19 dan 287 kematian, dengan lebih 1.37 juta orang diuji setakat ini.
— BERNAMA