Messi bakal ke Arab Saudi
PARIS: Lionel Messi akan mengikut jejak Cristiano Ronaldo bermain di liga Arab Saudi pada musim panas ini.
Menurut laporan El Chiringuito, pemain Paris Saint-Germain itu akan menerima tawaran lumayan Al-Hilal.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Domano pada April lalu mendedahkan, Messi menerima tawaran melebihi 400 juta euro (RM1.95 juta) setahun daripada kelab Arab Saudi itu.
Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu kembali menyertai latihan Paris Saint-Germain semalam selepas digantung dua minggu kerana melancong ke Arab Saudi tanpa kebenaran.
Bagaimanapun Messi berlatih bersendirian manakala rakan sepasukannya diberi cuti sehari.
Messi di laman Instagramnya berkata: “Saya sudah mengatur perjalanan ini dan tidak dapat membatalkannya. Sebelum ini saya sudah membatalkannya.
“Saya memohon maaf kepada rakan sepasukan dan saya menanti apa tindakan kelab ke atas saya.”
Messi yang tidak mempunyai hubungan baik dengan penyokong PSG, dijangka akan meninggalkan Parc des Princes sebaik kontraknya tamat pada musim panas ini.
Walaupun dia lebih cenderung untuk kembali bersama Barcelona, kelab Sepanyol itu tidak berupaya daripada segi kewangan untuk membawanya ke Camp Nou.
Pilihannya semakin terhad dan pilihan terbaik adalah menerima tawaran Al-Hilal.
El Chiringuito turut mendedahkan, bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Sergio Busquets juga akan menerima tawaran Al-Hilal, manakala Jordi Alba bakal menyusul sekiranya dia berjaya menamatkan kontraknya bersama Barca. –
AGENSI