Pemandu lori langgar lampu isyarat merah serah diri
Batu Pahat: Pemandu lori menyerah diri hanya beberapa jam selepas tindakannya melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 25, Jalan Kluang-Batu Pahat, dekat Parit Hamid tular di media sosial, semalam.
Lelaki berusia 39 tahun tampil ke Balai Polis Batu Pahat, 3 petang selepas seorang pengguna jalan raya berjaya merakam dan memuatnaik video itu di Facebook.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya mengesan satu video di media sosial menunjukkan lelaki yang memandu lori Isuzu putih melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, pada 11 pagi.
Katanya, pemandu itu tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya meneruskan perjalanan ke arah Ayer Hitam.
“Hasil semakan melalui nombor pendaftaran, polis memperoleh identiti dan alamat pemilik kenderaan itu, serta meminta pemandu lori ke Balai Polis Trafik pada hari sama.
“Pasukan Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV) kemudian mengeluarkan saman RM300 terhadap lelaki itu mengikut Peraturan 17, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana melanggar lampu isyarat merah,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat, sempat dirakam seorang pemandu kereta yang ketika itu mahu bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau di simpang Parit Hamid/Parit Botak.
Secara tiba-tiba muncul sebuah lori dipercayai dari arah Parit Raja tanpa memberhentikan kenderaan hingga hampir merempuh kereta terbabit.
Tindakan pantas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan suspek mendapat pujian warga maya.
METRO