Shereen ‘ratu’ 400m Asia Tenggara
PHNOM PENH: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy membuktikan dia ‘ratu’ bagi acara 400 meter (m) di Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas dalam acara berkenaan yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.
Shereen yang diletakkan sebagai harapan untuk membawa pulang emas dalam sukan olahraga membuktikan dia sukar digugat apabila menjadi individu pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 52.53 saat (s).
Kejayaan itu cukup untuk menumpaskan pesaing terdekat dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen di tempat kedua yang mencatat 53.27s manakala rakan senegara, Nguyen Thi Hang melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 53.84s.
Shereen yang berpengkalan di Amerika Syarikat berkata, walaupun berhadapan dengan kesukaran seperti keadaan cuaca dan perlu menyesuaikan diri berikutan tempoh penerbangan lama untuk ke Kemboja, namun halangan itu baginya bukan masalah besar untuk mencipta kejayaan dalam acara terbabit.
“Saya berusaha keras untuk memenangi acara 400m di sukan SEA sejak menyertai temasya dwitahunan itu pada 2015 sekali gus ia terbalas dengan kejayaan ini.
“Pada masa sama, segala latihan Amerika Syarikat membantu untuk meningkatkan lagi keupayaan terutamanya membabitkan teknik larian dalam acara 400m. Apa yang saya boleh saya katakan, tiada cabaran besar cuma mahu buat yang terbaik selain turut mendapat sokongan daripada keluarga,” katanya.
Mengikut rekod, Shereen sebelum ini berjaya meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 400m yang berusia 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina.
Pelari berusia 24 tahun itu memadam rekod berkenaan menerusi catatan 51.80s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat, bulan lalu.
Sebelum ini, dia juga pernah empat kali meleburkan rekod kebangsaan acara 400m dalam dewan dengan yang terbaru ketika memenangi emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu.
Pada ketika itu, dia melakukan catatan 52.27s.
BHOnline