UMNO 77 tahun, sediakah untuk di’muzium’kan?
Jangan biarkan Melayu jadi bangsat.
Oleh – Bakhtiar Omar
11 Mei 2023, UMNO akan genap mencapai usia 77 tahun. Selama 7 dekad melayari perjuangan Melayu, pasang surut politik negara, UMNO kekal menjadi tulang belakang kerajaan sehingga 2018.
Selepas 9 Mei 2018, UMNO mengalami kekalahan pertama kali apabila hilang kuasa dalam PRU14.
Sekali lagi Umno mengalami kekalahan apabila BN hanya menang 30 kerusi pada PRU15 lepas. Dimanakah salah silap strategi Umno/BN? Adakah pemikir dan kumpulan ‘Think Tank’ Umno/BN sudah tidak dapat berfungsi dengan normal?
Timbul persoalan, adakah Umno sudah bersedia untuk di’muzium’kan sekiranya gagal bangkit kembali pada PRU16?
Adakah faktor Najib dipenjarakan menjadi antara alasan mengapa pengundi BN melepaskan amarah mereka di kertas undi?
Bekas Perdana Menteri, Dato Sri Najib Razak pernah mengingatkan apa akan berlaku kepada Orang Melayu seandainya UMNO dipinggirkan dari politik tanahair.
“Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau UMNO hilang kuasa. Terbangsat…tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan,” – Najib Razak – 23 Ogos 2015
Apa yang berlaku selepas 2018 benar-benar memberi kesan kepada politik serta nasib Orang Melayu sehingga hari ini.
UMNO semakin dipandang sepi selepas Najib Razak dipenjarakan dan ramai sudah mula sangsi dengan perjuangan UMNO itu sendiri.
Tidak menafikan kepimpinan UMNO sediada sentiasa melakukan yang sehabis baik untuk kepentingan Melayu. Namun demikian, tidak pula boleh dinafikan apa yang tersirat pada ahli Umno.
AKUR TITAH AGONG BUKAN TIKET UNTUK GURIS HATI AHLI UMNO
Akur dengan titah YDP Agong untuk Umno membentuk sebuah kerajaan bersama Pakatan Harapan, ia bukanlah tiket untuk kepimpinan melukakan hati ahli Umno berjumlah lebih 3 juta.
Apa yang dimahukan ahli Umno, parti perlu melihat perkongsian kuasa bagi menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat benar-benar mencapai maksudnya tanpa ada ‘udang sebalik batu’.
Ahli Umno juga enggan melihat parti menanggung beban dan akibat sekiranya khilaf dilakukan pemimpin Pakatan Harapan.
Kini, terpulang kepada kepimpinan baru UMNO yang baru dipilih dalam pemilihan untuk membuat perubahan dalam UMNO sempena 77 tahun penubuhan parti terbesar Orang Melayu di Malaysia.
Bukan hanya ahli sahaja bertanggungjawab kepada parti, para pemimpin merupakan antara yang perlu mengubah cara pemikiran serta carfa berpolitik ‘ortodoks’ mereka demi kelangsungan Umno itu sendiri.
Para pemimpin yang tidak mampu seiring dengan peredaran masa dan hanya mementingkan jawatan, eloklah ditunjukkan pintu keluar seberapa segera.
Buka ruang kepada generasi muda untuk bersama mengembleng tenaga bagi membina Umno yang lebih dinamik dan berdaya saing pada masa depan.