Brighton benam Arsenal, Man City hampir gelaran liga
LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memohon maaf di atas kekalahan 3-0 anak buahnya kepada Brighton di laman sendiri yang meletakkan Manchester City semakin hampir dengan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
The Gunners berada di puncak liga hampir sepanjang musim ini dalam usaha mereka menamatkan kemarau 19 tahun kejuaraan liga.
Bagaimanapun asakan daripada juara bertahan, City, yang memenangi 11 perlawanan liga berturut-turut, Arsenal akhirnya tergelincir di belakang pesaingnya itu.
Anak buah Arteta hanya menang dua kali dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.
“Kami perlu meminta maaf kerana persembahan di babak kedua tidak boleh diterima. Secara matematik, masih ada peluang (memenangi liga) tetapi hari ini ia kelihatan seperti mustahil.
“Kami perlu menerima keputusan ini, menilai permainan di babak kedua, dan cuba memahami puncanya serta bangkit pada perlawanan seterusnya,” kata Arteta.
City akan mengesahkan kejuaraan buat kali kelima dalam enam musim, dan ketiga berturut-turut, jika Arsenal tewas di Nottingham Fores pada Sabtu.
Sekiranya Arsenal berjaya menewaskan Forest, gelaran masih menjadi milik City jika mereka mengatasi Chelsea di Stadium Etihad pada 21 Mei, atau mengumpul tiga mata daripada baki dua perlawanan menentang Brighton dan Brentford.
Arsenal sebenarnya sudah melebihi jangkaan ke atas mereka dengan menjadi pesaing utama kejuaraan liga dan mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan buat pertama kali dalam tujuh musim.
Namun menurut Arteta, kegagalan pasukannya bangkit daripada gol tandukan Julio Enciso di awal babak kedua menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan mereka musim depan.
Deniz Undav dan Pervis Estupinan menambah derita Arsenal dengan jaringan lewat permainan dan meletakkan Brighton semakin hampir untuk kelayakan Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Bagi kapten Arsenal, Martin Odegaard, persaingan merebut kejuaraan boleh dianggap sudah berakhir.
“Ia terasa seperti itu. Keadaan semakin sukar sekarang, ia sukar untuk diterima. Saya tidak tahu apa terjadi kepada kami di babak kedua, rasa seperti sudah tiada harapan sekarang,” kata Odegaard.
AFP