20 minit untuk ‘Recovery’ punca Fu Cern gagal ke final
Phnom Penh: Atlet taekwondo negara, Fu Cern Put Thai mengakui bahawa dia tidak sempat bersedia sepenuhnya untuk bertarung dalam aksi separuh akhir acara bawah 58 kilogram (kg) di pentas Sukan Sea Kemboja 2023, hari ini.
Situasi sukar yang terpaksa dihadapi Fu Cern itu menyaksikan dia tewas 0-2 di tangan wakil tuan rumah, Sam Youdeth dalam pertarungan separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini, dan perlu berpuas hati dengan pingat gangsa.
Atlet berusia 21 tahun itu berkongsi kedudukan ketiga bersama Cerilio Rego Cruz dari Timor Leste yang turut tewas 0-2 di peringkat separuh akhir kepada atlet Thailand, Thanakrit Yodrak.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata jarak masa antara aksi suku akhir dan separuh akhir agak singkat hingga dia tidak sempat untuk melakukan sesi pemulihan dan persediaan terbaik.
“Perasaan saya 50-50 antara gembira dan sedih sebab patut boleh menang tetapi saya gagal. Kalau ikutkan sasaran saya gangsa, tetapi saya cuba dapatkan keputusan lebih tinggi.
“Pada pertarungan separuh akhir saya tak buat silap, cuma saya tak sempat bersedia sepenuhnya tetapi saya tak nak salahkan sesiapa.
“Saya baru habis bertarung (suku akhir) dan saya tengah penat. Tetapi tiba-tiba tak sempat makan, tak sempat memanaskan badan saya terus kena panggil (untuk separuh akhir). Saya berasa macam badan saya tak bersedia.
“Suku akhir mula jam 2 petang (waktu tempatan), habis dalam 2.20 petang dan dalam 2.40 petang sudah mula pertarungan separuh akhir. Lawan dapat kelebihan sebab dia dapat ‘bye’ dan tak bertarung di suku akhir,” katanya.
METRO