Trump umum Bill Stepien sebagai pengurus baharu kempen
WASHINGTON, 16 Julai — Presiden Donald Trump mengumumkan Bill Stepien sebagai pengurus baharu kempen dan bukannya Brad Pascale, kira-kira tiga bulan setengah sebelum pilihan raya presiden berlangsung, lapor agensi berita Sputnik.
“Saya dengan senang hati mengumumkan Bill Stepien dilantik sebagai Pengurus Kempen Trump. Brad Parscale, yang telah lama bersama saya dan memimpin strategi digital dan data kami yang luar biasa, akan tetap memegang peranan itu, selain menjadi penasihat kanan,” tulis Trump di laman Facebooknya pada lewat hari Rabu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu percaya pasukannya akan berjaya sekali lagi melakar kemenangan sama seperti kempen pilihan raya pada 2016.
“Kedua-duanya terlibat sepenuhnya dalam kemenangan bersejarah kami pada 2016, dan saya berharap dapat memperoleh kemenangan yang besar untuk kali kedua. Ia semestinya jauh lebih mudah kerana berdasarkan tinjauan jumlah kami meningkat dengan pantas, ekonomi semakin baik, vaksin dan terapi tidak lama lagi akan ditemui, dan rakyat Amerika mahukan jalan dan komuniti yang selamat!,” tambah Trump.
Menurut laporan media Politico, Stepien – yang rapat dengan menantu Trump dan Penasihat Kanan Presiden Jared Kushner – menyertai kempen presiden pada 2016. Pada 2017, beliau menjadi pengarah politik Rumah Putih, manakala baru-baru ini memegang jawatan Timbalan Pengurus Kempen.
Pilihan raya presiden AS dijadualkan pada 3 November.
— BERNAMA