Banjir di CCVC terburuk sejak 2006
SEPANG, 21 Julai — Banjir yang melanda Cure and Care Vocational Centre (CCVC) atau Pusat Serenti Sepang di Kota Warisan di sini pada Ahad lepas disifatkan sebagai yang terburuk pernah menimpa kawasan itu sejak mula beroperasi pada 2006.
Pengarahnya, Maizura Zakaria berkata bencana banjir itu menyebabkan kakitangan yang rumah mereka terjejas kelihatan trauma serta mengalami kerugian beribu ringgit akibat kerosakan kelengkapan rumah dan peralatan elektrik.
“Kawasan ini memang sentiasa banjir kalau hujan lebat tetapi air naik setakat buku lali sahaja, tetapi banjir Ahad lepas berlaku begitu pantas sehinggakan ada mangsa yang tidak sempat hendak alihkan kereta mereka.
“Ada 18 rumah yang terjejas namun yang paling teruk ada kira-kira lapan rumah yang terletak di tingkat bawah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Maizura berkata beliau mengarahkan penduduk kuarters kawasan itu berpindah ke pusat pemindahan banjir kerana bimbangkan keselamatan mereka memandangkan kawasan berkenaan dikelilingi lombong serta berhampiran dengan Sungai Labu dan Sungai Dengkil yang menjadi habitat haiwan berbisa seperti buaya, ular dan biawak.
Beliau berkata pihaknya juga mengambil tindakan untuk memindahkan seramai 103 pelatih pusat itu ke Pusat Serenti Jelebu dan Dengkil dan kesemua mereka telah kembali ke CCVC Sepang secara berperingkat mulai hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan Ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil berat kebajikan kakitangannya yang menghuni kuarters itu dan pada hari kejadian, Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah turut turun padang meninjau kawasan bersama beberapa pengurusan tertinggi lain.
Maizura berkata beliau akan cuba mendapatkan kerjasama daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama membantu mangsa yang terjejas terutamanya dalam proses pembersihan di kawasan kuarters dan sekitar Pusat Serenti Sepang.
“Kakitangan (CCVC) di sini adalah petugas barisan hadapan bagi menjaga keselamatan para pelatih dan keselamatan di pusat serenti ini. Kekangan ini menjadikan mereka mengutamakan tugas dan tanggungjawab berbanding keluarga, seperti tidak dapat bercuti untuk membersihkan rumah mereka.
“Rata-rata mereka mempunyai anak yang masih kecil, di bawah usia 12 tahun yang memerlukan perhatian. Kakitangan di sini amat risau tentang keadaan rumah mereka dan kerugian yang bakal ditanggung disebabkan banjir yang telah melanda,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak NGO dapat membantu mangsa yang terlibat sama ada dari segi wang ringgit atau tenaga selain pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Daerah Sepang yang telah membantu membersihkan asrama pelatih.
Sementara itu, seorang daripada mangsa terjejas Mohd Hafiz Abu berkata ketika kejadian, dia baru pulang dari kedai membeli susu anak dan sebaik keluar dari kereta air menderu deras menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan lebih banyak barang.
“Masa itu cuaca biasa sahaja, tidak hujan, namun mungkin air dari kawasan sekitar telah turun dan melimpah ke kawasan ini.
“Mujur saya sempat menyelamatkan kereta dan beberapa perabot dan barangan elektrik, isteri dan anak-anak pun selamat. Seingat saya semasa berpindah, air telah naik sehingga ke paras pinggang,” kata polis bantuan di pusat tersebut.
Mohd Hafiz berkata walaupun perlu bertugas semasa banjir melanda rumahnya, namun bersyukur kerana keperluan asas keluarganya dijaga dengan baik semasa berada di pusat pemindahan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Dengkil.
Tinjauan Bernama ke rumah Mohd Hafiz mendapati rumahnya terjejas dengan lumpur melekat di dinding dan lantai selain perabot-perabot kayu rosak.
— BERNAMA