Perkukuhkan Keupayaan Parti, Sama-sama Bina Kekuatan UMNO – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata rakyat akan menghormati dan menyokong UMNO, jika parti berkenaan kuat.
Namun tegas beliau untuk membolehkan UMNO mempunyai kekuatan ianya bergantung kepada pimpinan serta ahli UMNO sendiri dan oleh itu seluruh ahli parti bertanggungjawab membina kekuatan bersama-sama.
“Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-14) telah memberikan pengalaman dan pengajaran yang besar kepada UMNO serta komponen parti dalam BN.
“Kita mesti ambil iktibar dari semuanya dan jangan kita ulangi lagi kesilapan kita. Kita mesti letakkan parti kita pada kedudukan yang kukuh dalam PRU-15 nanti. Justeru, mari kita bersedia dan memperkukuhkan kekuatan,” katanya menerusi catatan di facebook.
Tambah Shamsul lagi, perpaduan sesama sendiri harus diperkukuhkan sehingga ke akar umbi.
“Jaga perpaduan sesama kita. Kukuhkan kekuatan sehingga ke akar umbi. Pastikan UMNO BN di hati rakyat. Percayalah jika kita bersama rakyat, rakyat akan menyokong kita,” ujarnya.- UMNO Online