Cubaan porak poranda UMNO giat dilakukan oleh Beroker?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Benarkah wujud cubaan untuk membuat porak poranda Umno giat dilakukan pihak dikenali sebagai ‘BEROKER’?
Tersebar satu poster di media sosial memaparkan 2 wajah pemimpin Umno menerajui 2 kumpulan yang berbeza. Yang dipaparkan ialah wajah Zahid Hamidi dan Hishamuddin Onn.
Keduanya digambarkan sedang mengetuai 2 gerakan berbeza dalam menentukan hala tuju Umno. Yang menjadi kemusykilan, di sebelah pihak Zahid terpapar pula foto veteran DAP, Lim Kit Siang.
Sejak bila Kit Siang berada dalam Umno? 4 yang lain, Azalina Othman, Khaled Nordin, Bung Moktar dan Ahmad Maslan boleh dikategorikan sebagai ‘orang kuat’ Zahid. Tiba-tiba Kit Siang cuba digambarkan menyokong Zahid menerusi poster ini.
Di sebelah pihak Hishamuddin pula, 2 individu yang telah dipecat dari Umno turut dimasukkan sebagai penyokong kumpulan bersama Ismail Sabri, Mohamad Hasan, Shahar Abdullah dan Jalaluddin Alias.
SIAPA PUNYA IDEA KELUARKAN POSTER ‘BODOH’ UNTUK GAMBARKAN PERTENTANGAN DALAM UMNO?
Apa niat sebenar apabila poster diedarkan menerusi media sosial? Adakah benar sudah ada gerakan menggulingkan pimpinan sedia ada UMNO?
Hishamuddin sendiri sedang berdepan hukuman penggantungan keahlian Umno namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional. Bagaimana mahu bergerak jika sudah digantung keahlian?
Ada dakwaan proksi-proksi serta ‘tangan ghaib’ sudah berada dalam gerakan ini namun masih belum dapat disahkan dakwaan itu.
Jika dinilai poster tersebut, ia tidak lebih dari propaganda untuk melemahkan Umno dari dalam. Gerakan sebegini biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak berpuashati atau mempunyai kepentingan politik untuk diri sendiri.
Perjuangan politik bukanlah matlamat kerana kedudukan serta kuasa merupakan sasaran utama ‘pengkhianat’ yang berniat merosakkan Umno.
Umno sebenarnya masih digeruni pihak lawan, maka untuk memastikan Umno tidak kembali kuat sesuatu perlu dilakukan oleh ‘musuh’ Umno.
SERTAI KERAJAAN PERPADUAN JADI ‘SENJATA’ PIHAK LAWAN
Apabila Umno menerusi Barisan Nasional membuat keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan, ini merupakan satu langkah yang dijadikan sebagai ‘senjata utama’ musuh Umno.
Naratif UMDAP dimainkan pihak lawan, kononnya Umno kini sudah ‘melutut’ kepada parti yang sekian lama menjadi musuh politik. Malah, apabila pemimpin DAP bersuara, Umno digambarkan hanya ‘mengikut telunjuk’ dan tidak berani melawan.
Ditambah lagi dengan ‘mush dalam selimut’, Umno digasak dari segenap penjuru agar lebih cepat runtuh dari arus politik negara.
Jika itu berjaya dilakukan, maka tiada lagi halangan buat mana-mana parti politik untuk mendapat undi dari penyokong Umno.
‘PENYELAMAT UMNO’ DIPERLUKAN SEGERA UNTUK KEMBALIKAN KEPERCAYAAN KAUM MELAYU
Melihat kepada keadaan sekarang, Umno sangat memerlukan ‘Penyelamat’ bagi memastikan kepercayaan pengundi Kaum Melayu kembali kepada Umno.
Siapakah individu yang boleh dipercayai untuk menjadi ‘Penyelamat Umno’?
Hishamuddin, Khairy Jamaluddin, Isham Jalil, Ismail Sabri, Johari Ghani, Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Wan Rosdy atau Khaled Nordin?
Sengaja penulis tinggalkan beberapa nama untuk pembaca cadangkan sendiri siapakah yang boleh dipercayai untuk menyelamatkan Umno.