Sewakan Tanah Kepada Kami
Krisis pencerobohan tanah kerajaan secara haram yang telah ditanami dengan durian Musang King bertambah hangat apabila mendapat kecaman dari netizen yang mana menyifatkan kerajaan Negeri Pahang membiarkan isu tersebut selama berpuluh tahun tanpa tindakan yang sewajarnya.
Berbagai pihak mengambil kesempatan politik untuk menunjukkan rasa simpati terhadap penanam durian dan cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kenyataan kenyataan yang membelakangi lunas undang undang.
Perkara yang amat jelas apabila kerajaan Negeri Pahang bertegas akan mengikut lunas perundangan termasuk akta kanun negara. Selain arahan penggosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984,
Pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
SEWAKAN TANAH KEPADA KAMI
KUANTAN – Pekebun durian musang king meminta kerajaan negeri menyewakan tanah kepada mereka dan tidak menyerahkan kebun durian kepada Royal Pahang Durian Resources Sdn Bhd.
Majoriti pekebun terbabit menyifatkan tindakan oleh kerajaan Pahang sebagai tidak adil kerana mereka sudah mengusahakan tanaman berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.
Seorang pekebun, Yap Ban Heng, 40, berkata, pekebun lebih berhak menguruskan tanaman kerana mempunyai pengalaman mengendalikan raja buah itu.
“Lebih baik bagi kami jika pekebun menguruskannya dengan menyewakan tanah serta membayar cukai kepada kerajaan.
“Kami tidak mahu Royal Pahang menjadi orang tengah dan kenapa kerajaan menyerahkan tanah kepada syarikat yang tiada pengalaman?” soalnya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, kesemua pekebun akur dengan arahan kerajaan, namun ruang penyelesaian perlu ada bagi memastikan hasil tanaman menjadi milik mereka.
“Kami ingin perbincangan secara baik supaya dua pihak (pekebun dan kerajaan negeri) dapat hak selayaknya,” katanya.