Tempoh penutupan jalan ke Bandar Hilir Melaka akan dikurangkan

 

Oleh Pena Merah

Tempoh penutupan jalan ke Bandar Hilir Melaka akan dikurangkan
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

Tempoh penutupan jalan bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di sekitar Banda Hilir di pusat bandaraya akan dipendekkan kepada 21 jam berbanding 54 sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaksanaan itu, bagaimanapun masih dilakukan selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 6 petang hingga 1 pagi.



“Perubahan waktu ini akan bermula Jumaat depan hingga hujung Februari depan selepas mengambil kira pendapat peniaga yang terkesan,” katanya selepas melawat sekitar lokasi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir di sini hari ini.

Ab Rauf berkata perubahan tempoh penutupan jalan turut mengambil kira sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

“Saya harap sepanjang penyusunan semula sementara dan pertimbangan khas hingga hujung bulan Februari nanti akan memudahkan peniaga dan pembeli meraikan Tahun Baharu Cina.

“Kita (Kerajaan Melaka) bagi kelonggaran ini supaya kajian baharu dapat dibuat untuk menilai semula kawasan yang terjejas sebelum kita membuat keputusan nanti,” katanya.



Bernama sebelum ini melaporkan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir melibatkan penutupan jalan selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

Penutupan dan perubahan jalan itu bermula dari Persimpangan Jalan Laksamana dengan Jalan Banda Kaba (di antara Bangunan Public Bank Banda Hilir dan Bangunan Madonna) melalui Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng hingga Hotel Equatorial.

Pelaksanaan itu mendapat tentangan daripada peniaga makanan dan cenderamata di Medan Samudera yang berharap kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif berkenaan termasuk memendekkan tempoh masa penutupan jalan kepada hanya setiap Sabtu seperti dilakukan sebelum ini.- BERNAMA

Sumber – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button