Harimau Malaya longlai di Doha
Oleh – Syeikh Baran
Skuad Harimau Malaya menempah misi sukar untuk lolos ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 apabila tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi Kumpulan E di Stadium Al Janoub, sebentar tadi.
Namun, sebaliknya yang berlaku apabila pintu gol Harimau Malaya yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bocor pada minit ke-12 menerusi rembatan lencong bekas pemain import Kedah Darul Aman (KDA), Mahmoud Al Mardi.
Belum sempat skuad negara bangkit, Jordan pula memperoleh sepakan penalti selepas pengadil meneliti video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati ada kekasaran dilakukan Matthew Davies terhadap Yazan Al Naimat.
Peluang keemasan itu kemudian digunakan sepenuhnya oleh Mousa Tamari untuk meledak gol kedua Jordan pada minit ke-18.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-32, kelekaan pertahanan negara sekali lagi dihukum dengan jaringan Al Mardi yang mudah menolak masuk bola ke gawang selepas menerima umpanan Al Naimat.
Meskipun Malaysia dilihat beraksi dengan lebih baik pada babak kedua, namun tetap tidak mampu untuk menyekat Tamari daripada melengkapkan kemenangan bergaya Jordan dengan meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-85.
Harimau Malaya seterusnya akan berdepan pasukan di ranking lebih tinggi, Bahrain (ranking 86) dan Korea Selatan (23) pada Sabtu dan 25 Januari ini.
Sumber – Berita Harian