Nadhir Nasar teruja melihat lakonan sendiri di panggung wayang

 

Oleh Pena Merah

Nadzir Nasar teruja melihat lakonan sendiri di panggung wayang
Nadhir Nasar

Pelakon, Nadhir Nasar, 27, mengakui teruja ketika pertama kali melihat lakonannya di layar lebar berikutan selama ini menyifatkan dirinya masih mentah dalam bidang lakonan.

Menurut Nadir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, gara-gara tidak yakin dengan kebolehan diri, dia juga pernah menolak semua tawaran berlakon filem demi memastikan dirinya benar-benar bersedia.



“Tapi bila saya dapat skrip Pendekar Awang dan melihat bagaimana hasil kerja Studio Kembara dalam naskhah Mat Kilau sebelum ini, saya terus ambil.

“Naskhah Pendekar Awang juga mempunyai unsur-unsur mempertingkatkan semangat patriotik untuk agama, bangsa dan negara.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk menceritakan kisah pahlawan yang tidak pernah diceritakan. Apalagi untuk generasi saya yang tidak terdedah dengan sejarah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menerusi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Nadhir membawakan watak Tahir iaitu adik kepada watak utama Pendekar Awang lakonan Fattah Amin.



Selain itu, kata Juara Hero Remaja 2020 ini, meskipun ada yang beranggapan kualiti lakonannya telah menenggelamkan penampilan Fattah sebagai watak utama, Nadhir selesa membiarkan penonton membuat tanggapan masing-masing.

“Setiap hero memerlukan pasukan dan setiap pasukan memerlukan hero. Saya memerlukan Fattah dan dia juga memerlukan saya untuk melengkapkan cerita.

“Jika ada yang beranggapan begitu, itu terpulang kepada pandangan masing-masing kerana saya tidak boleh nak kawal.

“Pada saya, semua orang sudah memainkan peranan untuk menjayakan filem ini. Saya percaya Fattah juga sudah melakukan usahanya sehabis baik,” tambahnya.



Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang mula ditayangkan pada 11 Januari lalu telah memperoleh kutipan sebanyak RM2.4 juta dalam tempoh tiga hari ditayangkan.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah menceritakan kebangkitan pahlawan Pahang dalam usaha menyelamatkan Tok Gajah daripada penjajahan British.

Turut sama menjayakan filem yang ditayangkan pada 11 Januari itu ialah Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

-Utusan-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button