13 pelajar maut asrama terbakar

Oleh – Syeikh Baran


13 pelajar maut asrama terbakar
GAMBAR edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Berita China (CNS) pada 20 Januari 2024 menunjukkan tingkap Sekolah Yingcai yang pecah, selepas ia dijilat api di Yanshanpu di wilayah Henan, China.-AFP

Pihak berkuasa di Wilayah Henan tengah China sedang menyiasat punca kebakaran pada waktu malam yang mengorbankan 13 pelajar sekolah ketika mereka tidur di asrama.

Kata agensi berita rasmi Xinhua, kejadian yang berlaku di Sekolah Yingcai di kampung Yanshanpu itu dilaporkan kepada bomba pada pukul 11 malam (waktu tempatan), Jumaat dan dipadamkan kira-kira 40 minit kemudian.



Menurut bomba, seramai 13 pelajar maut dalam kejadian itu manakala seorang lagi cedera.

Berpuluh-puluh polis berada di sekitar kawasan berhampiran sekolah. 

Seorang pegawai polis di tempat kejadian memberitahu AFP, terdapat siasatan berterusan di dalam dan tiada siapa boleh masuk.

Beberapa tingkap di sisi sekolah itu pecah, satu-satunya tanda yang jelas berlaku di bangunan itu.



Tinjauan AFP mendapati, bar logam menegak menutup tingkap sekolah manakala papan tanda kekal pada muka bangunan bangunan itu.

Dalam video yang dikongsi dalam laman media sosial China Weibo, seorang lelaki bernama Fan, bapa kepada seorang budak lelaki yang maut dalam kebakaran itu berkata, sampel darah diambil daripada ibu bapa untuk melihat padanan asid deoksiribonukleik (DNA) mereka dengan mangsa.

“Kami ibu bapa belum melihat anak-anak kami… Kami hanya boleh melihat mereka apabila keputusannya tersedia.

“Anak saya telah belajar dengan bersungguh-sungguh. Saya tidak boleh menerimanya,” kata Fan.



Tiada penjelasan rasmi mengenai punca sebenar kebakaran walaupun beberapa laporan media tempatan mencadangkan ia berkaitan dengan alat pemanas elektrik.

Perkampungan Yanshanpu terletak di pinggir Nanyang, sebuah bandar berpenduduk hampir 10 juta orang, kira-kira 850 kilometer ke barat Shanghai.

Radio dan Televisyen Nanyang melaporkan bahawa pegawai tempatan mengadakan mesyuarat semalam untuk membincangkan mengenai kerja susulan bagi kebakaran maut dan menambah baik langkah keselamatan pada masa hadapan.

Kebakaran dan kemalangan maut adalah perkara biasa di China disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan penguatkuasaan yang lemah.



Pada November, 26 orang maut dan berpuluh-puluh orang dikejarkan ke hospital selepas kebakaran di pejabat syarikat arang batu di wilayah Shanxi, utara China.

Bulan sebelumnya, berlaku letupan di restoran barbeku di barat laut China menyebabkan 31 maut. Perkara itu mendorong kempen di seluruh negara untuk mempromosikan keselamatan di tempat kerja.

Pada April, kebakaran hospital di Beijing mengorbankan 29 orang dan terdapat mangsa yang terselamat melompat keluar dari tingkap untuk melarikan diri.-AFP

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button