DAP tidak perlu mengamalkan norma politik lama
Oleh Pena Merah
MCA meminta parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak meneruskan amalan politik lapuk, khususnya dengan membuat kenyataan bersikap kritikan terhadap satu sama lain.
Sebaliknya Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berharap semua parti yang membentuk kerajaan tersebut harus memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi rakyat dan negara, bukannya berperang mulut antara satu sama lain.
“Kita tidak perlulah terus mengamalkan norma politik lama dengan bergaduh mulut dalam media saban hari. Sebaliknya, sebagai pemimpin politik muda, kita perlu ada norma politik baharu.
“Sekiranya ada mana-mana parti dalam kerajaan yang tidak berpuas hati dengan MCA atau Teresa Kok sendiri, dia boleh berhubung dengan saya. Saya sedia beri penjelasan tentang hala tuju MCA untuk rakyat dan negara ini,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU);antara Hospital Gleneagles Medini dan Yayasan Rose berkaitan Bulan Kesedaran Kanser Serviks, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyifatkan MCA kini agak ‘sesat’ kerana kepimpinan parti itu dilihat kerap menyerang Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri memberitahu, kenyataan Naib Pengerusi DAP itu hanya pandangan peribadi beliau.
“Sekarang DAP pun telah menjadi salah satu parti dalam gabungan kerajaan Malaysia. Jadi, biarlah kita fokus kepada isu rakyat kerana mereka sedang tunggu apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada kesesakan ekonomi ketika ini.
“Itu yang lebih penting,” tegasnya.
-Utusan-