Warga asing ulang-alik isi petrol untuk penyeludupan

Oleh – Syeikh Baran


Warga asing ulang-alik isi petrol untuk penyeludupan
KERETA yang digunakan suspek untuk menyeludup minyak petrol berjaya ditahan anggota penguat kuasa KPDN Kelantan di Rantau Panjang, Kelantan semalam-IHSAN KPDN KELANTAN.

Seorang lelaki warga asing yang berulang-alik membuat isian petrol di beberapa buah stesen minyak berjaya diberkas anggota penguat kuasa dalam satu serbuan di sini semalam.

Suspek berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada pukul 2.45 petang.



Terdahulu, anggota penguat kuasa KDPN Kelantan telah mengekori kereta jenis Proton Satria yang dipandu suspek sejauh 5 kilometer sebelum berjaya ditahan ditepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta itu membawa kepada penemuan 125 liter petrol.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menjumpai tangki yang telah diubah suai bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa KPDN.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek mengaku membuat pembelian secara berulang di beberapa buah stesen minyak sekitar kawasan ini.



“Semasa ditahan suspek mempunyai pas lawatan sempadan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, KPDN Kelantan tidak menolak kemungkinan bahan api itu  akan dibawa ke pangkalan haram untuk diselewengkan ke negara jiran.

Sumber –UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button