Kegagalan mesin ventilator, HKL siasat dakwaan
Oleh – Syeikh Baran
Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedang menyiasat kejadian pesakit meninggal dunia didakwa akibat kegagalan mesin ventilator.
Pengarahnya, Datin Dr. Rohana Johan berkata, sebarang komplikasi rawatan perubatan menjejaskan keselamatan pesakit disiasat melalui sistem pelaporan insiden seperti digariskan dalam Laporan Insiden Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi hospital sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit dipantau dan diselenggara mengikut jadual agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat diberikan kepada pesakit,” katanya, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pesakit meninggal dunia, manakala seorang lagi disahkan mati otak dalam tempoh seminggu di wad berasingan di hospital Lembah Klang.
Menurut sumber, insiden itu didakwa berpunca daripada kegagalan mesin ventilator.
Sumber – KOSMO! ONLINE