Bagi saya, sesuatu yang ‘merepek’ – Naim
Oleh Pena Merah
Siapa sangka mesej langsung (DM) dihantar kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dibalas dan niat berduet menerusi lagu terbaharu disambut baik oleh penyanyi legenda itu.
Penyanyi dan komposer, Naim Daniel, berkata dia rasa satu penghormatan dan kebanggaan apabila lamarannya disambut tetapi untuk mendapatkan juara Bintang RTM 1979, ini bukan sesuatu yang mudah.
“Kolaborasi itu tercetus bila mesej langsung yang saya hantar dalam Instagram Jamal berbalas. Saya tidak sangka Jamal akan membalasnya, seterusnya menyatakan persetujuan untuk berduet.
“Namun untuk mendapatkan Jamal bukan mudah kerana jadualnya teramat sibuk mengalahkan menteri. Tapi, kami berjaya juga mengatur proses rakaman lagu baharu berjudul Urat.
“Lebih membuatkan saya terharu apabila Jamal ada menolak beberapa tawaran lagu daripada komposer lain sebelum ini.
“Jamal terima lagu saya kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu balada. Saya pun tak tahu apa yang beliau nampak hingga membuatkannya hatinya terbuka terima,” katanya kepada BH Online.
Menambahkan kekaguman Naim terhadap penyanyi legenda itu, Naim mendedahkan Jamal sangat merendah diri, selain bersedia menerima teguran daripadanya dan produser lagu, Farouk Rahman.
“Proses rakaman dilakukan bersama. Ketika rakaman, kami memang sangat berpuas hati dengan komitmen diberikan. Saya beruntung kerana dipertemukan bersama Jamal pada era ini, mungkin ketika beliau muda, sukar untuk menjangka moodnya.
“Tapi, Alhamdulillah proses rakaman berjalan dengan sangat lancar, Jamal terbuka dengan cadangan dan mengikut sahaja arahan daripada saya dan Farouk.
“Pada mulanya, saya segan juga dengan status Jamal sebagai penyanyi legenda, tetapi beliau tidak kisah dan faham kerja kami.
“Kalau menyentuh soal vokal, rasanya itu tak perlu untuk diperkatakan lagi. Dalam lagu Urat, Jamal cuba tampilkan kelainan dan saya memang cukup terpesona dengan kemantapan vokalnya.
“Saya tak tahu apa yang dilakukan pada vokalnya. Dalam usianya, tapi masih mampu tarik vokal tinggi.
“Bagi saya, sesuatu yang ‘merepek’. Boleh menangis dengar suaranya,” kata Naim.
Urat sudah pun boleh ditonton menerusi platform YouTube, World Peace Entertainment.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Naim mendedahkan 2024 bakal menjadi satu tahun yang amat sibuk buatnya.
Selain duetnya bersama Jamal, juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 menerusi lagu Sumpah itu akan meluncurkan lima lagu bersama penyanyi dan produser daripada Indonesia.
Katanya, dia sibuk berulang-alik ke Jakarta, Indonesia bagi menjalani sesi ‘brainstorming’ untuk lagu terbaharu menerusi kolaborasi bersama Sony Music Indonesia.
“Saya akan tampil dengan lima lagu baharu yang dirakamkan di Jakarta. Jadi, saya sibuk berulang-alik untuk siapkan lagu.
“Saya bekerja dengan produser muzik, Rizky Febian, jadi lagu yang bakal diluncurkan akan lari daripada norma Naim Daniel.
“Saya juga ada lagu duet bersama seorang penyanyi wanita yang sedang meningkat naik di Indonesia.
“Ini adalah salah satu cara untuk menembusi pasaran muzik di Indonesia. Dalam era media sosial tidak mustahil sesuatu berlaku.
“Sebelum ini, kita sering dengar betapa susahnya penyanyi Malaysia menembusi pasaran Indonesia, tapi kewujudan media sosial sangat membantu merapatkan lagi jaringan,” katanya.
-Berita Harian-