Saya tidak kisah untuk berhabis duit. Janji menjadi dan puas! – Abil

 

Oleh Pena Merah

Saya tidak kisah untuk berhabis duit. Janji menjadi dan puas! - Abil
NABILA Huda tidak berkira berhabis wang sendiri demi kesempurnaan kostum setiap karakter lakonan.

Aktres Nabila Huda mengakui sanggup berbelanja besar demi memastikan kemenjadian setiap karakter lakonannya.

Kata Nabila, 40, atau mesra disapa sebagai Abil, kegilaannya yang sanggup mengeluarkan bajet sendiri itu juga bagi memastikan orang lain tidak berdepan kesukaran dek sikapnya yang terlalu cerewet dan mementingkan kesempurnaan.



“Masalah utama saya ialah sanggup melabur duit sendiri untuk nampak elok dalam skrin.

“Semuanya untuk kepuasan sendiri demi watak dan ternyata sangat berbaloi apabila mempunyai orang (penata gaya) yang tepat dan faham semua perkara saya bayangkan,” katanya dalam Instagram.

Tambah bintang filem Rahsia itu, sikap cerewetnya itu membawa kepada perkara yang sangat teliti seperti jenis kain dan rekaan kasut seperti yang dibayangkan untuk sesebuah watak.

“Untuk tidak menyusahkan orang dengan permintaan bukan-bukan dan sikap sikap cerewet untuk rupa sesebuah karakter, saya tidak kisah untuk berhabis duit. Janji menjadi dan puas!” ujarnya.



Anak kepada penyanyi legenda rock, Datuk Amy Search itu berkata, sikap pentingkan kesempurnaan itu juga memastikan rupa dan penampilan karakter dipegangnya nampak realistik.

“Saya punya tahap cerewet itu seperti sanggup membeli pakaian dalam bersaiz besar untuk watak wanita hamil.

“Perut juga tidak boleh pakai bantal (perut palsu) sehingga nampak bentuk petak, pecah lubang!

“Kalau saya tidak dapat apa yang diingini, boleh naik hantu dan itu bukan satu gurauan,” tuturnya.



Menerusi perkongsian sama, turut menitipkan ucapan terima kasih kepada penata gaya dikenali sebagai Shasha yang banyak membantu merealisasikan setiap penampilan hebat karakter lakonannya dalam beberapa buah naskhah seperti filem Telaga Suriram dan drama pendek Banjir Raya terbitan stesen televisyen Singapura.

-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button