43 kes gagal guna tanda harga merah jambu
Oleh – Syeikh Baran
Sebanyak 6,186 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 sejak 6 Februari hingga Rabu lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, ia melibatkan pemeriksaan keatas 6,068 premis runcit dan 118 premis borong.
“Tindakan undang-undang yang telah dikenakan adalah melibatkan 43 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga.
“Tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina kali ini.
“Majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan skim ini.
“Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2024,” ujarnya.
Jelas Azman, berdasarkan pemantauan KPDN serta maklum balas orang ramai juga, pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2024 telah berjalan dengan baik dan lancar.
Sumber – KOSMO! ONLINE.