Tiada pusingan U isu gred beras putih

Oleh – Syeikh Baran


Tiada pusingan U isu gred beras putih
Gambar Hiasan

Kerajaan tidak pernah membuat pusingan U dalam isu gred beras putih malah ketika ini ia masih di peringkat cadangan.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut juga belum diputuskan di peringkat Kabinet.



“Pada waktu ini, belum ada pemakluman atau perbincangan di Kabinet mengenai ketetapan (satu gred beras putih) tersebut. Jadi ia bukanlah U-turn (pusingan U).

“Saya lihat kenyataan Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu berniat baik dan hasratnya ialah untuk membantu mengurangkan harga barang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perbincangan dan penyelarasan juga perlu dilakukan bersama pengusaha, pekedai dan peruncit.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.



Mohamad berkata sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Kenyataan itu susulan cadangan Syed Abu Husin supaya kerajaan mengeluarkan beras putih tunggal bagi menggantikan kategori beras tempatan dan import dengan harga yang lebih rendah.

Menurutnya, Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) mulai 1 Mac depan dilaksanakan demi mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button