“Tidak boleh hanya tertumpu kepada bidang nyanyian” – Mawi
Oleh Pena Merah
Seiring peredaran masa, penyanyi dan penyampai radio, Mawi mengakui kerjayanya tidak boleh hanya tertumpu kepada bidang nyanyian, sebaliknya perlu mencuba pelbagai perkara baharu.
Mawi atau nama lengkap, Aswami Ani, 42, berkata selain menyanyi dan bertugas sebagai penyampai di stesen radio, Zayan FM, dia juga menceburi bidang perniagaan hasil dorongan isterinya, Nora Asyikin Rahmat.
“Apa yang boleh saya buat, saya buatlah, antaranya menerusi perniagaan. Isteri pula jenis tak boleh duduk diam.
“Ada sahaja perniagaan yang dibuat dan ada kala mengajak saya membantu.
“Dia yang banyak galakkan saya untuk berniaga dan selalu ingatkan kerjaya dalam industri seni tak kekal lama.
“Jadi, saya ambil keputusan keluarkan produk kesihatan berasaskan herba, Mawi x Bajunid sebagai persediaan masa depan.
“Sebelum ini, saya hanya jadi duta produk orang, sekarang saya keluarkan produk sendiri,” katanya ditemui pada majlis doa selamat sempena pelancaran produk kesihatan, Mawi x Bajunid di Surau Al-Munawwarah, Bangi Golf Resort, Bangi, baru-baru ini.
Mawi berkata, dia tetap bersyukur biarpun tawaran nyanyian di majlis perkahwinan lebih banyak berbanding program televisyen (TV).
“Sekarang ini banyak majlis kahwin yang panggil saya menyanyi. Pelik juga, tapi saya okay sahaja kalau dapat tawaran menyanyi macam itu.
“Saya juga tak fikir kalau menyanyi pada majlis kahwin macam merendahkan martabat, sebaliknya selepas keluar Akademi Fantasia dulu ada sahaja yang beri tawaran seperti itu,” katanya.
Juara program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini berkata, dia terpaksa mengehadkan kerjaya nyanyian hanya pada Jumaat sehingga Ahad kerana perlu memberi komitmen terhadap kerjaya penyampai radio.
“Hari biasa saya bertugas sebagai penyampai radio di Zayan FM. Kiranya saya bersyukur ada pendapatan bulanan. Nyanyian pula rezeki lain sekarang.
“Dulu dahsyat sangat, empat hingga lima tahun selepas AF masih boleh dapat jumlah tak masuk akal. Bayaran sampai RM80,000 pun orang tak kisah janji saya datang sahaja.
“Sekarang saya jalan sahaja. Alhamdulillah masih ada rezeki. Setiap minggu ada orang panggil,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mawi bakal tampil dengan filem terbaharu berjudul Zim Zim Ala Kazim yang memaparkan kisah hidup pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dan dijadual menjengah pawagam pada Hari Raya Aidiladha tahun ini. – Berita Harian