Lelaki diberkas tak sempat bergaya kasut Adidas curi

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki diberkas tak sempat bergaya kasut Adidas curi
Suspek diberkas selepas disyaki mencuri kasut Adidas dari kediaman pemiliknya di Bayan Lepas, semalam.

Seorang pemuda tidak sempat bergaya dengan kasut jenama Adidas yang disyaki dicuri dari kediaman pemiliknya di sebuah kondominium di Lengkok Kelicap, Bayan Lepas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 22 tahun itu dilakukan di kediaman suspek di Batu Uban, Gelugor kira-kira pukul 11.20 malam tadi.



Menurutnya, tindakan suspek yang juga peniaga itu disedari pemilik kasut berkenaan selepas melihat kelibat lelaki itu menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
 

“Hasil pemeriksaan polis telah menemui barang curi iaitu sepasang kasut Adidas berwarna merah yang dibeli pemiliknya pada harga RM600 di lantai ruang tamu kediaman suspek tersebut.

“Suspek juga dikatakan berniat untuk menjual kasut tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, petang tadi.

Jarak lokasi kejadian di Bayan Lepas dengan kediaman suspek di Batu Uban adalah terletak kira-kira 10 kilometer.

Rizal memberitahu, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.



Sumber -KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button