6 lelaki bunuh Kevin Morais kekal ke tali gantung

 

Oleh Pena Merah

6 lelaki bunuh Kevin Morais kekal ke tali gantung
Enam lelaki yang membunuh Kevin Morais ketika dibawa ke Mahkamah Rayuan di sini hari ini. Foto oleh Faiz Alif Zubir/Kosmo!

Enam lelaki kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas sabitan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dalam kejadian menyayat hati sembilan tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.



Keenam-enam perayu itu ialah ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R .Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R.Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34, dan S. Nimalan, 31.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hadhariah berkata, kejadian pembunuhan terhadap si mati (Kevin) adalah sesuatu yang dirancang dengan rapi dan luar biasa.

“Mengambil kira kejadian tidak cukup dengan membunuh si mati, kereta si mati dibakar, barang-barang peribadi dibuang, maka kejadian bunuh ini boleh dikatakan kejadian bunuh luar biasa daripada yang biasa-biasa.

“Oleh itu pada hemat kami (panel) hukuman sepadan yang dilakukan oleh semua OKT (perayu) ialah hukuman gantung sampai mati. Jadi rayuan terhadap sabitan dan hukuman ditolak. Sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Hadhariah.



Sebelum ini, perayu-perayu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabit dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh membunuh Kevin ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.



Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Dalam hujahan rayuan, Dinishwaran diwakili peguam, M.Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N. Sivananthan hadir bagi pihak Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Fuad Abdul Aziz. – Kosmo Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button