Saya ‘lock’ Bella untuk tempoh satu tahun terus – A.Aida

 

Oleh Pena Merah

Saya 'lock' Bella untuk tempoh satu tahun terus - A.Aida
A Aida beri peluang kepada Bella membintangi tiga naskhah terbitan produksinya.

Penerbit Datuk A Aida mengambil keputusan memberi peluang kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah untuk membintangi tiga naskhah terbitan produksinya.

Selain simpati nasib menimpa Bella susulan isu kecurangan suaminya, Aliff Aziz, A Aida juga mahu membantu pelakon kelahiran Sandakan, Sabah itu mengasah bakat lakonan.



“Saya ‘lock’ Bella untuk tempoh satu tahun terus. Keputusan ini juga untuk bantu kewangan dan asah bakat lakonan Bella.

“Setiap naskhah adalah tayangan di saluran Salam HD UnifiTV.

“Moga dengan kesibukan di set penggambaran juga sedikit sebanyak membantu Bella melupakan segala kesedihan dilaluinya.

“Lagipun, saya sudah lama kenal dengan Bella. Sejak kecil lagi, Bella sudah berlakon dengan produksi saya.



“Kalau tak salah ketika usianya masih 7 tahun. Ketika itu, Bella bersama Didi Astillah sudah berlakon dengan saya,” katanya kepada HIP.

A Aida berkongsi, tiga naskhah yang dihadiahkan kepada Bella terdiri daripada dua telefilem iaitu Elhan Untuk Nian yang juga adaptasi daripada novel dan Matahariku, manakala satu lagi adalah drama bersiri 13 episod berjudul Game Over Romeo.

Selain simpati nasib, A Aida juga mahu membantu Bella mengasah bakat lakonan. - Foto IG A Aida
Selain simpati nasib, A Aida juga mahu membantu Bella mengasah bakat lakonan. – Foto IG A Aida

Sebelum ini, A Aida dilaporkan menyenarai hitam Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas daripada berlakon dalam produksi miliknya kerana memberi pengajaran kepada pelakon yang bermasalah.

A Aida dilaporkan berkata, Ruhainies sepatutnya terbabit dengan penggambaran telefilem Elhan Untuk Nian bagi tayangan Salam HD UnifiTV pada April depan, namun terpaksa mengeluarkan daripada senarai pelakon kerana isu khalwat bersama Aliff.



Mengulas lanjut, A Aida berkata, akan ada lebih banyak peluang menanti Bella bersama syarikat produksinya.

“Selepas ini, saya ada lagi perancangan lain untuk Bella. Mungkin ada empat lagi telefilem yang Bella akan terbabit.

“Saya juga akan ambil Bella sebagai pengacara untuk program akan datang.

“Saya akan atur jadual Bella untuk semua tawaran diberikan,” katanya.



Sementara itu, Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah meluahkan rasa syukur atas peluang diberikan A Aida.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Sabtu lalu.

Kelmarin, Bella hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta untuk sebutan kali pertama berhubung permohonan perceraian yang difailkan terhadap Aliff, dua hari sebelumnya. Bagaimanapun, kelibat Aliff tidak kelihatan di mahkamah untuk sebutan kes. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button