Ibu bimbang anak tidak pulang sejak Selasa lalu

 

Oleh Pena Merah

Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang masih tidak pulang sejak dilaporkan hilang.

Seorang ibu bimbang keselamatan anak perempuannya, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang masih tidak pulang sejak dilaporkan hilang, Selasa lalu.

Ibu kepada kanak-kanak perempuan itu, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata kali terakhir beliau bersama anaknya di kediaman mereka di Pudu, di sini, kira-kira jam 4 petang.



Menurutnya, perselisihan faham di antara dia dan anak pertama daripada dua beradik itu dipercayai punca kanak-kanak perempuan bertindak keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga kini.

“Waktu petang hari itu (Selasa) Dhia dah balik ke rumah. Kemudian saya terus tanya kenapa pagi dia tak pergi ke sekolah. Cikgu mula WhatsApp tanya kenapa tak pergi ke sekolah. Dhia jawab dia keluar (tidak hadir sekolah) beli barang buat kejutan untuk saya.

“Dengar jawapan itu, saya marah dan tegur apa yang dia buat itu salah. Kenapa buat waktu hari persekolahan. Beberapa minit kemudian saya keluar rumah untuk nak beli barang dapur untuk sediakan lauk berbuka. Balik sahaja Dhia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, tular di media sosial kanak-kanak berusia 12 tahun, Dhia Batrisyia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak Selasa lalu.



Mengulas lanjut, Syarifah berkata, beliau mula merasakan tidak senang hati apabila selepas selesai berbuka anak perempuannya masih belum pulang ke rumah.

“Selalunya dia akan pergi ke rumah kawan-kawan di sekitar kawasan ini, jadi apabila esoknya masih lagi tidak pulang ke rumah, saya mula mencarinya di rumah kawan-kawan tetapi semuanya tidak tahu di mana Dhia berada.

“Sebelum ini, Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tak balik rumah, saya memang tengok dan jaga anak saya,”katanya.

Lebih merisaukan, Syarifah berkata, terdapat rakan kepada Dhia memaklumkan anaknya mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali didakwa dikenali melalui media sosial.



“Saya jadi risau bila ada (kawan) yang kata Dhia pergi menghala ke Ampang, tambah pula ada kawan-kawan cakap Dhia pernah bercerita tentang seorang individu tetapi semua rakannya tidak pernah berjumpa orang itu. Saya risau bila ada orang tak kenal ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan satu laporan polis diterimanya semalam.

“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tindakan mengesan sedang giat dijalankan” katanya. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button