Kalau kami penat, apatah lagi, roh arwah – Achey
Oleh Pena Merah
Anggota Bocey, Achey dan Fad mengambil pendekatan tidak mencampuri kemelut antara balu Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali dan adik iparnya, Ali Puteh kerana menyedari mereka hanyalah orang luar.
Bagaimanapun, sebagai sahabat arwah, mereka berharap kemelut berpanjangan selama empat tahun itu dapat diselesaikan secara peribadi tanpa perlu dihebahkan dalam media sosial bagi menjaga ketenteraman arwah di alam barzakh.
“Saya dan Fad tiada hak mencampuri urusan mereka kerana kami orang luar. Sebagai sahabat, kami sedih dan penat dengan apa yang berlaku. Kalau kami penat, apatah lagi, roh arwah.
“Kalau kedua-duanya memikirkan arwah, tolonglah berhenti berbalah. Uruskan secara senyap dan tahu-tahu semuanya selesai.
“Jika dapat diselesaikan lebih cepat tentulah lebih baik, harap dapatlah selesai sebelum Aidilfitri ini supaya saya dan Fad dapat menziarah kedua-dua keluarga di Sungai Besar dan Gombak,” katanya yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf anjuran GNI Pharma Sdn Bhd, di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, semalam.
Achey berkata, dia dan Fad serba salah menziarah kedua-duanya kerana tidak mahu disangka menyebelahi mana-mana pihak.
Katanya, dia dan Fad turut berhenti bertanya khabar anak tunggal arwah Abam, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima tahun sejak kemelut berkenaan tercetus.
“Kami rasa doa dari jauh sudah memadai, buat masa ini. Bukan berdiam diri atau tak nak ambil tahu langsung soal kebajikan Hamzah, tapi untuk bantu atau ziarah, rasanya kami tunggu sampai kemelut selesai dahulu.
“Insya-Allah sebaik selesai sahaja, macam-macam yang kami nak sediakan untuk Hamzah, itupun jika pihak sebelah sana setuju.
“Saya dan Fad pernah cuba untuk menjernihkan keadaan, tapi tak berjaya. Jadi, kami ‘angkat kaki’, tapi tetap berpesan, selesaikan elok-elok.
“Sebab itu, bila ada yang bertanya, tak bantu balu arwah atau Ali? Kami hanya boleh beritahu, itu hal keluarga dan kami hanya adik beradik dalam industri dan kami rasa mereka okay,” katanya.
Bagaimanapun, kata Achey, dia berharap kemelut antara Hidayah dan Ali juga dapat diselesaikan dengan baik memandangkan anak-anak semakin besar serta elak timbul sifat benci.
“Apa yang berlaku, jauh atau dekat, mereka tetap darah daging. Ini sahaja yang boleh saya cakap, nak cakap dalam-dalam saya tak layak sebab sedar orang luar,” katanya.
Terdahulu, Achey dan rakan artis, Rozita Che Wan dan suaminya, Zain Saidin; Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha serta Mubarak Majid hadir majlis berbuka puasa bagi menyantuni golongan asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz dalam acara julung kali diadakan syarikat. – Berita Harian