4 drama tema Ramadan level fenomena
Oleh Pena Merah
SETIAP kali tibanya Ramadan, stesen televisyen berlumba-lumba menampilkan drama yang bukan sahaja menarik tetapi penuh dengan mesej keinsafan.
Drama-drama Ramadan biasanya mendapat rating yang luar biasa sementelah penonton lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.
Ironinya, drama-drama Ramadan cukup sinonim dengan pengarah Shahrulezad Mohameddin dan pada tahun ini beliau muncul dengan drama Khunsa.
Drama tersebut menarik perhatian khalayak kerana mengupas isu taboo dan sensitif iaitu tentang perjalanan hidup seorang khunsa.
Meski disambut baik, ada juga yang ‘menentang’ dan mendakwa karya berkenaan mempromosikan dakyah songsang sedangkan khunsa itu bukanlah kekeliruan identiti.
Selain isu yang berat, drama Khunsa menarik perhatian kerana dibintangi pelakon berkaliber seperti Azhan Rani, Nadia Aqilah, Sherry Alhadad, Farah Ahmad dan Mia Farah.
Nur
Drama Nur pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika disiarkan pada 2018 apabila mengangkat kisah pelacur bersama golongan agamawan.
Memenuhi permintaan ramai, drama Nur musim kedua ditayangkan pada 2019 dan pihak produksi merancang untuk membikin filem Nur.
Sungguhpun begitu, pembikinan filem tersebut dibatalkan atas alasan plot cerita dan batasan masa. Pengarahnya, Shahrulezad enggan membikin sebuah filem ‘separuh masak’.
Drama Nur dibintangi oleh Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah, Azhan Rani, Azar Azmi, Uchee, Fatima Abu Bakar, Atiq Azman dan Datuk Jalaluddin Hassan.
7 Ramadan
Drama 7 Ramadan merupakan sebuah karya yang meruntun jiwa mengisahkan seorang anak yang tidak mengakui ibu angkatnya di khalayak ramai kerana miskin.
Ditayangkan pada 2012, drama ini dibintangi Ellie Suriaty, Fir Affandi, Ana Dahlia, Nabila Huda dan Roy Azman.
Syurgamu Ramadan
Drama yang meruntun jiwa ini mengisahkan Datuk Halimatun menentang keras perkahwinan anak sulungnya Marlia dengan Budi seorang pengawal keselamatan.
Marlia dan Budi bahagia sepanjang perkahwinan mereka dan dikurniakan lima orang anak.
Namun, episod menarik drama ini bermula apabila Marlia dan Budi meninggal dunia dalam kemalangan dan Datuk Halimatun mula tinggal bersama cucu-cucunya.
Karya arahan Shahrulezad ini dibintangi oleh Ellie Suriaty, Eira Syazira, Ungku Ismail, Zarina Zainoordin dan Elfira Loy.
Diari Ramadan Rafique
Drama Diari Ramadan Rafique arahan M. Hitler Zami pernah mencetuskan fenomena ketika ditayangkan pada 2006.
Disebabkan sambutan luar biasa, drama ini kembali menemui penonton pada 2019 dengan judul Diari Ramadan Rafique Reunion.
Drama kekeluargaan ini menampilkan ramai barisan pelakon popular antaranya, Rozita Che Wan, Roy Azman, Erin Malek, Zed Zaidi, Normah Damanhuri, Norish Karman, Mirsad Hassan Kulasic dan Zarynn Min. – Kosmo Online