Zii Jia belum memberi kata putus

 

Oleh Pena Merah

Zii Jia belum memberi kata putus
Rexy Mainaky ketika sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara

Pemain perseorangan lelaki profesinal, Lee Zii Jia belum memberi kata putus sama ada akan menyertai skuad negara atau sebaliknya bagi mengibar cabaran di Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang bertemu Team LZJ diketuai pengurus, Lee Zii Yii dan jurulatih, Wong Tat Meng, hari ini, berkata mereka meminta diberi sedikit masa untuk berbincang sebelum membuat keputusan.



Katanya, Zii Jia juga sudah ada perancangan dalam persiapannya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

“Dalam pertemuan hari ini, kita bincang mengenai perancangan mereka (Team LZJ) buat Zii Jia. Mereka memang ada memikirkan untuk Olimpik dan sasaran mereka.

“Ketika ini Zii Jia berada di ranking ke-10 dunia, jadi mereka sasar dia boleh masuk dalam kelompok lapan terbaik. Ada beberapa perkara yang akan difikirkan bagaimana untuk Piala Thomas.

“Seperti mana pentingnya Piala Thomas, mereka juga harus memikirkan bagaimana untuk mempersiapkan Zii Jia kerana kalau lihat dari kejohanan yang dia akan bermain bermula BAC (Kejohanan Badminton Asia), Masters Malaysia, Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia serta Terbuka Australia.



“Kalau bermain di Piala Thomas, ia akan menjadi ‘overload’ dan terlalu banyak. Jadi, mereka akan bincang terlebih dahulu mengenai Piala Thomas ini.

“Ada beberapa cadangan daripada mereka tetapi saya tidak boleh beritahu kerana perlu bincang dengan pengurusan dahulu…apa perancangan dan apa yang mereka mahukan,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM di sini.

Menurut Rexy, pihaknya akan menghormati dan menyokong setiap keputusan daripada Team LZJ kerana memahami dengan perancangan yang sudah dilakukan mereka untuk pemain berkenaan.

“Mereka masih ada masa untuk bincang kerana tarikh tutup pendaftaran pemain Piala Thomas adalah pada 13 April ini. Kalau mereka bermain nanti, apa yang mereka mahukan kerana ada banyak perkara yang kita kena faham dengan perancangan mereka,” kata Rexy.



Kudrat Zii Jia ditagih skuad negara bagi menggalas tugas selaku perseorangan pertama ketika Ng Tze Yong masih dalam proses untuk pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya.

Zii Jia turut menjadi sebahagian daripada skuad negara yang muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, bulan lalu.

Pada saingan Piala Thomas tahun ini, skuad negara di undi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button