Biduanita Negara, siapa yang layak?

 

Oleh Razak Hasan

Biduanita Negara, siapa yang layak?
Siti Nurhaliza (kiri), Sheila Majid (tengah) dan Ziana Zain

Usul agar penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mencipta legasi dalam industri muzik sejak hampir tiga dekad lalu, diangkat sebagai Biduanita Negara, hangat diperkatakan netizen.

Topik siapa layak digelar Biduanita Negara ketiga tambah hangat apabila inisiatif memberi gelaran itu kepada Siti menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan dilapor sudah memulakan langkah pertama merealisasikan hasrat berkenaan.



Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor menyatakan fasa awal untuk memberikan pengiktirafan kepada Siti sudah dilaksana. Bagaimanapun, Fahmi tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai prosedur penganugerahan gelaran Biduanita Negara dibuat.

Selain Siti, beberapa nama besar dalam pentas muzik tempatan seperti Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid dan penyanyi terkenal dengan vokal lantang, Ziana Zain dicadang netizen diberi pertimbangan untuk menjadi calon ketiga memegang gelaran Biduanita Negara, berdasarkan pencapaian cemerlang mereka.

BH Online mengambil inisiatif mengendalikan kaji selidik melalui akaun Facebook (FB) dan pelantar X rasmi BH mengenai siapa paling layak diberi gelaran Biduanita Negara ketiga. Peminat boleh memilih calon paling layak iaitu Siti, Sheila dan Ziana. Responden juga diberi pilihan untuk menamakan penyanyi lain yang layak mendapat gelaran itu.

Baru-baru ini, usul untuk menganugerahkan Siti dengan gelaran Biduanita Negara timbul selepas kejayaan penyanyi Cindai itu menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan lalu.



Rentetan itu, ada ciapan di aplikasi X dilapor meminta Fahmi yang juga peminat Siti, membantu menunaikan hasrat peminat penyanyi bervokal mantap itu. Lebih mengejutkan ciapan itu mendapat reaksi positif Fahmi.

Sebelum ini, gelaran Biduanita Negara hanya diberi kepada dua bintang legenda iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button